Sewaktu kami masih kecil, kami sering terlihat seorang lelaki yang tinggal di kaki lima kedai Makan Bukhari. Kata orang dia gila. Keadaannya tidak terurus. Rambutnya panjang mencecah pinggang dan kami sukar sekali dapat meneka warna baju yang dipakainya. Setiap petang lelaki itu akan melihat kami bermain di taman. Sesekali dia tersengih, menampakkan barisan giginya yang lebih banyak berwarna hitam dari putih. Sesekali dia akan menjegilkan matanya yang ditutupi oleh bulu kening yang panjang dan lebat. Kami seboleh- bolehnya tidak mahu memandang lelaki itu; bimbang pandangan kami bertembung. Lalu apa reaksi yang akan kami pamerkan?
Suatu petang sewaktu kami sedang bermain buaian lelaki itu datang menghampiri. Kami tidak menyedari kehadirannya kerana terlalu seronok. Setelah sekian lama barulah kami sedar; di sebelah kami lelaki yang kami geruni itu sedang melakar sesuatu pada pasir. Kami kaku di atas buaian masing- masing kerana kedudukan antara kami dan lelaki itu terlalu rapat. Tiba- tiba dia bersuara tanpa memandang kami, “aku cuma lukis satu bulatan kecil, tapi akhirnya aku tak dapat mencari penghujungnya. Kau tolong aku cari?”
Kami memandang sesama sendiri. Kami dengar jelas setiap patah perkataan lelaki itu tetapi kenapa susah benar kami hendak memahaminya? Tiba- tiba dia berkata lagi dengan nada yang sungguh sayu, “tolonglah aku cari.”
Demi mendengar permintaannya, kami segera bangkit dari buaian masing- masing dan menghampirinya. Dia bertinggung. Nyata sekali akan bulatan sebesar tayar kereta. yang dilakarkan olehnya. Kami turut memandang lakaran tersebut dengan harapan dapat mencari penghujung bulatan itu. Rupa- rupanya kami juga gagal!
Sekali lagi lelaki itu bersuara, “nanti kalau kau jumpa penghujungnya, datang bagitahu aku.” Dan dia terus berlalu meninggalkan kami yang masih terpinga- pinga. Sejak itu kami tidak nampak lelaki itu di mana- mana lagi. Kehilangannya tidak memberi sebarang kesan kepada kehidupan kami. Kalau adapun cuma kaki lima kedai Makan Bukhari yang sudah tidak berpenghuni.
Kini kami masing- masing telah dewasa. Kami hampir sahaja melupakan cerita lelaki itu kerana telah mempunyai kehidupan sendiri. Sehinggalah baru- baru ini tanpa sedar adik kecil kami telah bertanya sewaktu melalui sebuah roundabout, “di mana hujung bulatan ini?”
Kami tersentak. Dengan pertanyaan yang spontan begitu membawa kembali ke zaman kecil kami. Lelaki yang menginap di kaki lima kedai Makan Bukhari itu bertanya soalan yang serupa. Dia juga mencari penghujung sebuah bulatan.
Tiba- tiba kami terhenyak di tempat duduk masing- masing. Lelaki yang mencari penghujung bulatan itu sebenarnya sedang mencari penamat sebuah kehidupan. Tiada sesiapapun mengetahui bila dan di mana dia akan meninggalkan dunia. Sehingga sampai ketikanya, dia sendiri akan tahu.
Sebenarnya lelaki itu bukan gila. Dia hanya berfikir menjangkaui akal dan logik, dan mereka yang tidak pernah mahu berfikir itulah yang gila. Gilakan keduniaan!
81 Hari lagi bakal bertemu Ramadan Kareem...
-
Assalamualaikum,
Semoga ALLAH SWT memanjangkan usia kita untuk bertemu Ramadan yang mulia..
Tidak pasti lagi bagaimana cara kita raikan Ramadan pada tahun...
3 years ago
No comments:
Post a Comment