Wednesday, October 24, 2007

Very Old!

(Kisah di bawah agak kelam-kabut, dengan bahasa yang bercampur-campur. Kerana kisah ini adalah kisah di zaman remaja, jadi penggunaan perkataan juga diambil pakai dari memori lama juga)

Raya 2007. Besar ertinya (bagi aku) jika dibandingkan dengan raya tahun-tahun lalu. Hari raya yang paling banyak surprise, paling banyak senyum, paling banyak habis duit dan paling banyak makan. Paling tidak sangka aku boleh terserempak (sebenarnya ada juga yang telah plan) dengan kawan-kawan lama, sekampung dan sekolah.

Susah nak percaya, aku beraya dengan Bob. Dia classmates 4 Sains 2. Walaupun aku kecil dan comel, tapi dia lebih kecil dari aku waktu itu. Rambutnya semacam sebiji durian muda, anak matanya berwarna coklat cair, kulit putih seperti albino, pendek dan paling buas. Aku masih ingat peristiwa-peristiwa yang berwarna-warni terjadi dalam kelas kami. Walaupun awal tahun tersebut kami masih belum mengenali diri masing-masing (kebanyakan datang dari sekolah lain, dan kelas lain) tetapi sekejap sahaja kami boleh bergurau senda dan merajuk duka.

Aku berkembar meja dengan gadis bernama Nurul Hana. Orangnya tinggi dan bertubuh besar. Dia sopan sekali. Cakapnya lembut dan berlapik. Dan accent Utaranya sangat pekat. Aku suka dia.

Di depan kami ada gadis kecil bernama Pisya dan seorang white girl bernama Aziera. Mereka rapat sungguh. Seorang dari Negeri Sembilan dan gadis putih itu dari kl juga. Kedua-duanya nampak cerdik (sebenarnya memang cerdik) dan masing-masing tidak kedekut untuk mengajar aku yang kurang cerdik ini.

Aku tidak ingat siapa di belakang kami, tetapi jauh kebelakang ada 2 gadis tinggi meliuk berkongsi tempat. Lydia dan Lily. Mereka tekun betul. Kurang bercakap tetapi bila sesekali bersuara ketara sekali ketokohannya.

Kemudian di belakang merekalah Mohd. Azni dan Md.
Duan@Awe.

Di barisan yang berdekatan dengan tingkap (blok kelas kami dekat sangat dengan hutan berbukit yang banyak tupai berekor kapas dan monyet liar yang comel dan bengis) ada sekumpulan pelajar lelaki yang aku kurang rapat kecuali Wafi, Shaharizan, dan Bob (yang aku ceritakan tadi). Nama mereka aku ingat, Ruwaidi, Razali dan Fakri.

Kemudian kumpulan penjaga pintu kelas ialah Syamsiah yang sungguh akrab denganku tidak lama dulu. Naiemah, dan beberapa orang yang aku tidak kenal lagi.

Entah kenapa aku betul-betul tidak sebulu dengan Bob. Dia sungguh kebudak-budakkan. Dalam sehari aku boleh bergaduh dengan dia tak kurang 3 kali. Dan perkara yang menjadi bahan untuk bergaduh pula bukanlah tentang Amerika atau bola atau politik. Kami bergaduh kerana tong sampah penuh, penyapu hilang, feather duster yang rosak dan lain-lain benda remeh yang bukan remeh bagi kami.

Aku pernah mencampakkan kepada Bob sebakul sampah yang sarat ke mukanya. Dia pernah membalingkan aku kapur tulis. Aku pernah mengejarnya dengan penyapu sampah. Dan dia selalu sangkut beg sekolahku pada papan hitam dan muka pintu. Paling aku benci dia selalu mengajuk gaya aku berjalan.

Cikgu Rohana, cikgu Sejarah kami selalu berhajat hendak mengurungkan kami di dalam kelambu di rumahnya. Katanya kami suami isteri yang hanya bergaduh pada siang hari. Waktu tu aku tidak faham maksudnya tetapi bila meninggalkan alam ria cuti sekolah (masih ingat?) aku mula faham.

Kemudian seorang demi seorang pergi. Nurul Hana juga. Aku kehilangan kawan. Dia cikgu Matematik yang paling baik. Selepas dia pergi Syamsiah menggantikan tempatnya. Bermula dari waktu itulah aku menjadi rapat sungguh dengan dia hinggakan aku menjadi anak angkat keluarganya. Kemudian Ruwaidi pergi, Fakri pergi, Wafi pun pergi... dan last sekali Bob.

Tapi selama setahun sekelas dengan Bob aku tidak pernah bercakap tentang sesuatu yang ilmiah, maksudku tidak satupun dari perbualan kami boleh dikategorikan sebagai berbual. Semuanya mengandungi perkataan dan ayat yang sungguh dasyat dan kotor. Kerana itu apabila dia meninggalkan aku, aku menjadi begitu tenteram...dan SUNYI.

Ramai menganggap aku terkena kejutan budaya (pandai betul mereka). Dulu seawal pagi aku dan Bob berkejar sepanjang koridor, menuruni tangga dan menyambung episod di laluan depan makmal Biologi dan Kimia. Tetapi setelah dia tiada aku masih lagi berkejar, tetapi ke tempat untuk memulakan tugas sebagai Pengawas Sekolah. Dan apabila di tingkatan 5 kami semua dirombak semula untuk membezakan satu aliran yang begitu membezakan pelajar kelas tinggi dan rendah. Maksud aku di sini bukan pelajar menengah tinggi atau rendah, tetapi pemilihan subjek untuk menentukan kami di sekolah elit atau di sekolah wawasan. Bagi aku idea tersebut sangat membezakan pelajar-pelajar dan juga para guru. Tetapi aku hanyalah seorang pelajar, walaupun aku salah seorang di dalam redaksi sekolah tapi aku tidak mampu untuk bersuara.

Di Tingkatan 5 Sains
1@Elit, aku sekali lagi bertukar kawan baik. Kali ini aku di sebelah Pisya.
Syamsiah, Azni dan Awe masih di kelas Sains 2 tapi kami masih rapat dan aktif menjalankan aktiviti kami di luar waktu sekolah (aku dan Syamsiah). Di belakang kami Kak Yong dan Adniza (sekarang menjadi tunangan Mohd. Azni). Kemudian Alin dan Lily.


Kemudian di row yang satu lagi bertapa beberapa orang gadis-gadis ayu yang pernah aku abadikan nama mereka dalam puisi untuk kelas kami dalam Cerlang Year Book. Suria, Naiemah1, Naeimah2, Shadow, Ina, Nazidawati, Lydia, Dalilah dan beberapa orang Ida (berkongsi nama mereka ni).

Ida (Noraida) dan Lily merupakan kawan yang menjerumuskan aku ke alam tuition di Diana. Mula-mula kami patuh dan akur, ke tuition, tapi selepas beberapa ketika kami menghabiskan duit di cyber cafe. Kami juga anggota Kadet Polis Wanita. Dasyat jugak aku waktu dulu. Kerana terlalu aktif aku tak sempat hendak merasai bagaimana menjadi budak pandai kerana tiap-tiap pagi buku Pisyalah yang aku tiru tak kira apa subjek sekalipun. Terima kasih Pisang! (aku suka memanggilnya begitu). Aku updatekan kisah mereka; Ida sekarang menjadi salah seorang warga RTM dan Lily pulak hebat menempah wang dengan kerjayanya sekarang. Aku tumpang gembira walaupun aku belum menumpang Mini Cooper kuningnya. Tinggal berjiran belum tentu selalu jumpa. Kalaupun bertemu, kami cuma terserempak di One Utama.

Entah kenapa aku jadi makin rindu dengan kawan-kawan lama. Aku teringin nak pakai baju sekolah balik, nak duduk kat tempat duduk aku dulu, nak tengok duty rooster yang kami buat, nak berdiri di pagar B untuk ambil nama orang yang datang lambat dan banyak lagi. Dan paling aku takkan lupa tentulah beberapa orang senior yang aku suka tengok tetapi tidak berani hendak tegur; Jas Amer.

Semasa raya itu hari, aku sudah meminta maaf dari mereka, tambah-tambah lagi Bob. Dia macam terkedu tidak tahu apa nak cakap kerana kami tidak pernah bersua lagi sejak habis sekolah. Dan dia sudah berubah. Berubah sungguh dan ramai dari kami tidak kenal dia. Tapi ganjil, aku yang dulunya bermusuh dengan senang dapat mengecamnya. Akupun hampir tidak percaya.

Entah apa aku nak taip lagi, kalau aku ingat aku sambung lagi.

2 comments:

Anonymous said...

friend, friend and friends.

Anonymous said...

penyapu kelas aku pun tak pasal pasal boleh berada kat tangan hang. teruk betul hang dulu. -sir muthu