Tuesday, November 13, 2007

Kisah Zila

Dulu semasa zaman kecilku, kami selalu bertiga. Aku, Chik dan sepupu kami Zila. Kami menghabiskan masa bermain basikal bersama-sama, mencari ibu ‘makyong’ di dalam pasir di bawah rumah Tok. Kadang-kadang kami mandi di sungai kecil di hujung bendang terbiar. Sebenarnya untuk ke tempat-tempat kusebutkan tadi bukannya dekat. Kami merentas denai kecil yang berselut dengan basikal BMX kami. Dengan bekal makanan yang penuh disumbat ke dalam beg sekolah kami berjaya mencari tempat tersebut. Walaupun jauh ke dalam hutan tapi kami tidak pernah mengenal makna takut. Pelik.

Di sungai kecil itu kami mencari ikan-ikan kecil. Kami pernah di ajar oleh Tok untuk menangkap ikan-ikan kecil, apa yang perlu hanyalah sehelai T-shirt lama yang tidak digunakan lagi tetapi keadaannya mesti masih baik, tidak berlubang-lubang atau terkoyak. Kemudian seorang dari kami memegang 2 penjuru dan seorang lagi memegang 2 lagi penjuru lain. Kami mesti turun ke sungai dengan langkah seperti seorang puteri. Puteri? Kami ketawa sendiri. Kemudian dengan menggunakan T-shirt itulah ikan-ikan kecil terperangkap. Sebenarnya aku tidaklah berkira sangat, T-shirt lama atau baru aku akan gunakan untuk mencari hasil. Apa bezanya, nanti ke sungai itu juga kami mandi, bermain air, terjun terbalik, main pasir, T-shirt itu juga yang kami pakai.

Selalunya Chik orang pertama yang akan naik ke darat. Dia selalu terdengar orang bercakap-cakap. Kadang-kadang dia dengar suara orang berbisik-bisik. Aku malas menghiraukan apa yang didengari. Bukannya malas. Aku enggan suasana seronok bermain sungai hilang. Bila Zila mula takut dia akan mula menangis. Aku tak suka keadaan tersebut. Bagi aku kalau kami berani merentas hutan sebegitu jauh kenapa perlu takut dengan bunyi-bunyian yang kita sendiri tak nampak.

Zila sebenarnya seorang yang hidupnya seperti lalang. Bergoyang ke sana-sini. Sebentar saja dia boleh ubah keputusannya. Mula-mula dia beria-ia hendak naik ke bukit, melihat keadaan rumah Tok dari atas bukit. Akulah orangnya yang akan mencampakkan baju lama Tok yang berwarna terang ke atas bumbung rumah supaya kami dapat mengecam dengan senang rumah Tok. Bila-tiba-tiba Makcik Yong datang ke rumah membawa sepeket Mamee Monster besar, dia terus sakit kaki, kadang-kadang boleh demam mengejut. Aku tak suka menghadapi situasi itu dulu. Selalunya bila dia berlakon begitu kami akan cepat-cepat pergi.

Akupun sebenanrnya cepat bosan dengan orang seperti Zila. Terlalu mudah mengalah. Kadang-kadang dia langsung tak dapat membuat keputusan. Aku pelik dengan orang yang begitu. Dulu aku dan Chik penggemar Majalah Dewan Pelajar, manakala Zila pula pelanggan Bambino. Kami sering bertukar-tukar majalah. Suatu hari aku ternampak wajah kawan lamaku di tadika dulu pada majalah Bambino. Aku excited! Kemudian aku suruh Chik menyalin alamat kawan lama tersebut. Tiba-tiba Zila mencelah. “Saya takut mak marah.” Aku terkejut. Mak marah? Apa kaitan kawan aku dengan mak dia? Aku bukan nak ambil majalah Bambino tu, aku cuma nak ambil alamat kawan aku. Tapi dia tetap berkeras. Sejak itu kami renggang. Aku hairan macammana cara dia berfikir waktu itu.

Selepas kejadian tersebut aku mula meluaskan rangkaian dengan budak-budak kampung yang seusia. Kami mula berkawan dengan Yati dan Shela. Seronok bermain dengan mereka waktu tu kerana meraka bermain masak-masak; satu permainan yang bagi aku dan Chik ialah baru dan begitu feminin. Walaupun masak daun rambutan tapi bau masakan tu macam rendang ayam.

Kemudian kami bosan. Permainan macamtu sebenarnya membosankan bila selalu diawasi orang dewasa. Maklumlah bermain dengan api. Aku mula memfokuskan dengan permainan Combat. Setiap seorang ada machine-gun dan bullet. Aku seronok bermain dengan budak-budak lelaki tapi tidak bagi Chik. Dia tidak tahan masuk hutan semak. Badan selalu gatal-gatal sampai akhirnya dia demam. Tetapi tidak bagi aku. Aku tidak percaya berjaya memanjat pokok tinggi dan bersembunyi di atas. Cuma aku tak tau nak turun balik. Tetapi bagi budak-budak lelaki- tak tau turun pokok satu kelemahan yang patut diatasi secepat mungkin. Aku rasa terpaksa, dan dipaksa. Kemudian aku perlahan-lahan tinggalkan permainan tersebut.

Entah kenapa aku seringkali teringat zaman kecilku. Waktu kami sibuk mengayuh basikal. Waktu kami bermain sungai. Waktu menghitung duit raya. Zaman itu terlalu cepat berlalu. Sungguh pantas sehingga akupun tidak sedar bila diri aku sudah berubah menjadi seorang gadis remaja. Gadis remaja; baruku tahu apa maksudnya.

Zila sepupuku berubah menjadi seorang gadis yang sungguh pemalu. Kami terpisah. Sesekali bertemu dia seakan-akan bercakap dengan kenalan baru. Tetapi topik yang akan membuatkan kami lupa pada dunia tentulah tentang subjek-subjek dan keputusan peperiksaan. Gred yang diperolehi dan berapa banyak pingat yang diperolehi semasa hari sukan sekolah. Selalu kami bertukar-tukar soalan peperiksaan. Tetapi itu aku, kami sebaya, jadi tiada masalah sebenarnya.

Tetapi bagi Chik, Zila terlalu pasif. Chik dibesarkan dalam kehidupan sekolah berasrama yang menuntut banyak pengorbanan. Membasuh baju, menggosok baju, menjaga barang-barang sendiri, mengaturkan perbelanjaan sendiri. Zila pula dibesarkan sebagai anak tunggal yang manja dan terlalu rapuh perasaannya. Pergi sekolah dihantar dan diambil, ke tuition pun berteman, membeli bahan untuk projek sekolah pun bersama ayah. Aku tidak tahu bagaimana perasaan seorang anak manja yang mendapat perhatian sebegitu rupa dari ibu bapa. Entahlah kami cemburu atau apa, tetapi jauh di sudut hati aku tidak mahu menjalankan kehidupan seperti itu.

Aku pernah bertanya Chik; nak ke buat kerja sekolah ditemani oleh ayah atau emak? Dia ketawa. Bagi dia yang biasa berjauhan dengan keluarga, layanan sebegitu rupa tentu sekali menjadi bahan ejekan kawan-kawan. Bagi diri aku sendiri bagaimana Zila hendak berdikari nanti. Rimas dan lemas. Suffocating!

Aku. Mengalami perubahan yang berbagai-bagai. Susah juga nak diterangkan. Apa yang pasti aku menjadi individu yang begitu mementingkan kawan-kawan. Kawan datang. Kawan pergi! Tetapi aku seorang yang tidak pernah lupa kawan. Walaupun sesuatu persahabatan tu putus, tetapi aku tetap tidak dapat melupakan nama atau wajah atau peristiwa bersama mereka. Sejak dulu lagi, itulah satu-satunya aku rasa anugerah yang tidak ada pada orang lain. Tiba-tiba otak ku rasa beku. Kisah Zila sebenarnya belum habis. Nanti aku sambung lagi.

1 comment:

Anonymous said...

nice story afeya!