Kali pertama aku menjalani kehidupan di asrama adalah ketika berumur 17; apabila mendapat surat tawaran untuk mengikuti Matrikulasi Sains Hayat, dua minggu selepas menduduki SPM. Hati sebenarnya berbelah-bagi; pergi atau tidak. Selepas ibu mula mengemas barang (barang aku), aku sudah mendapat jawapan bahawa aku mesti pergi. Tidak boleh tidak! Jadi aku pun turut mengemas (contoh mengemas ialah mencari kalkulator saintifik peninggalan Kak Inda, membeli sebanyak mungkin T-shirt berlengan panjang dan mencari baju kurung tidak bercorak dari Kamdar; biru, hijau, coklat, dan pink).
Pertama kali melangkah masuk ke bilik yang bernama 'dorm' tapak kakiku menyapu cat hijau yang sudah kering dan merekah dari lantai bilik tersebut. Aku rasa orang yang paling last sampai ialah anak En. Mohamad inilah kerana semua katil sudah diisi dengan tilam yang sudah bersampul. Satu-satunya katil yang tilamnya masih berbogel ialah tingkat atas dan paling dekat dengan pintu keluar masuk dorm tersebut. Di bawah; pemilik katil tersebut memperkenalkan diri sebagai Nurul Izza.
Semua orang sedang sibuk mengemas barang masing-masing ke dalam 'loker'. Ramai di antara mereka masing-masing mengenali kerana sebilangan besar dari mereka berasal dari sekolah menengah yang sama; atau seakan-akan sama; atau di hujungnya saja yang lain... seperti TKC, STF, Sek. Men. Sains Kota Tinggi atau MRSM Jasin dan Beseri. Aku? Hmm. Sekolah untuk budak yang bukan brilliant sangatlah. Jadi dengan status tersebut aku mula rasa rendah diri. Jadi aku kononnya tidak mahu mempedulikan orang lain lantas mengeluarkan bedsheet baru yang di beli di Sogo, lalu mula mengenakan pada tilam yang berada di katil atas... Tapi kenapa hujung bedsheet ni dijahit dengan getah? Habis di mana penjurunya. Semasa aku membalik-balikkan kain bercorak 'spring' itu aku ditegur orang.
"Tak tau nak pasang ke? Bak sini saya tolong."
Orang yang nak menolong itu tinggi, matanya coklat, kulit mcm orang putih, tapi namanya Ira. Ramahnya dia. Semasa dia menolong aku memasang bedsheet itulah aku tahu yang dia pelajar di STF, ayah dan emaknya orang Penang, dia bercita-cita nak jadi peguam dan anak sulung dari 4 beradik.
Kemudian aku mengenali Ayuda yang jugak berkulit putih melepak, tinggi dan manis berasal dari Kelantan. Kemudian Wahidah, Intan, Oja dan Jehan. Azura, Hartini, Atikah dan Dini. Ita, Ina dan Che Pah. Siapa lagi? Aku ingat lagi wajah mereka cuma tidak ingat lagi nama mereka.
Minggu suai kenal membawa aku mengenali lebih ramai lagi. Aku ditempatkan dalam kumpulan yang sama dengan Ayuda, Syadidi, Hanan dan selebihnya aku tidak ingat. Dalam masa yang sama aku mula mengenal makna 'kuliah' dan dihinggapi penyakit mengantuk. Teruknya penyakit ini hinggakan aku susah hendak belajar dan mendengar setiap patah perkataan pensyarah. Dan sekarang penyakit yang tidak dapat dirawat ini kubawa pergi ke tempat kerja pula.
Kerana sudah kukatakan tadi, otakku bukan digilap di sekolah-sekolah ternama seperti kebanyakan kawan-kawan aku di sini, jadi selepas keputusan SPM keluar, aku terpaksa berhenti dari meneruskan pengajian. Kenapa? Kerana aku mendapat pangkat 2. Aku tidak terkejut, keluargaku jugak tidak terkejut. Tetapi ada seseorang yang sungguh terkilan. Aku sendiri tidak mengenali orang yang terkilan itu sehinggalah dia sendiri datang memperkenalkan diri kepadaku sebagai Muhd. Saifuddin.
Kemudian aku mendapat tahu dialah orangnya yang meniru tandatangan aku pada 'kertas kehadiran' yang diedarkan dalam kuliah untuk ditandatangi oleh student sebagai bukti kami ada di situ. Hampir setiap hari dia menolong menurunkan signature ku pada kertas tersebut. Dan barulah aku tahu buat pertama kalinya dalam hidup aku mempunyai 'peminat', setelah berusia 17 tahun.
Katanya dia selalu berada di belakang aku di dalam dewan kuliah, dan dia tahu aku selalu tertidur. Katanya lagi setelah kuliah selesai dia selalu berharap untuk bercakap dengan aku tetapi aku pantas menuruni anak tangga dan berlari balik ke dorm. Semua dia bongkarkan kepada kawan sebiliknya; Jasya. Setelah berminggu-minggu barulah kami bertemu di bawah panas tengahari tepi longkang yang menghadap ke padang bola.
Aku sungguh tidak percaya Muhd. Saifuddin yang meminati aku tu seorang 'budak pandai' yang pernah mewakili negara untuk kuiz matematik (kalau tak silap) di Romania. Dan dia dari S.Alam Syah. Semasa kami di tengah panas itu rupa-rupanya ramai dorm mate aku tertinjau-tinjau. Mereka memang sudah mengenali Muhd. Saifuddin yang popular itu, sudah pastilah menjadi tanda tanya; apa hubungan Fiza yang biasa-biasa itu dengan Saifuddin yang luar biasa?
Kemudian buat pertama kalinya lagi aku keluar date dengan dia. Date ini ialah date biasa; makan mcD, jalan-jalan, dan bersembang. Kami banyak membincangkan masa depan aku. Dia sungguh bimbang. Memang ketara sekali ketokohannya sebagai budak cerdik pandai. Aku memang hairan, kenapa dia memilih aku (memilih untuk meminati, bukan mencintai hahaha).
Tidak lama kemudian dia membawa berita; dia akan meninggalkan kolej kami untuk menyambung cita-citanya di Cork, Ireland. Aku tidak terkejut. Sebelum inipun dia banyak menerima tawaran menyambung pengajian untuk pelbagai kursus yang kedengaran hebat-hebat belaka. Mungkin yang satu ini betul-betul sesuai dengan minat dan jiwanya; lalu dia terima.
Persahabatan kami tidak terhenti di situ. Sesekali aku menerima surat dan panggilan telefon darinya. Sehinggalah aku menyambung pengajian di Unitar, kami masih berhubunganan. Namun bila simkad handphoneku rosak, aku tidak tahu apa-apa lagi tentang dia.
Beberapa tahun kebelakangan ini barulah aku tahu dia sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai 2 cahayamata. Dan dia masih di sana. Itupun aku tahu melalui Friendster. Dan nama isterinya- Fiza.
Aku rasa penat hendak menaip lagi. Nanti ada masa aku sambung lagi cerita-cerita lama.
81 Hari lagi bakal bertemu Ramadan Kareem...
-
Assalamualaikum,
Semoga ALLAH SWT memanjangkan usia kita untuk bertemu Ramadan yang mulia..
Tidak pasti lagi bagaimana cara kita raikan Ramadan pada tahun...
3 years ago
No comments:
Post a Comment