12 tahun lalu.
Aku berbasikal di bawah langit yang masih gelap. Cahaya samar dari lampu basikal tidak berupaya menyuluh seluruh subuh itu. Embun tebal yang menyelimuti pagi mencium seluruh wajah sehingga ke hujung rambut. Aku memperlahankan kayuhan apabila tulang sumsumku bergetar kedinginan. Cahaya lampu basikal mini itu turut malap, lalu aku tukar kembali rentak kayuhan.
Simpang tiga. Aku kembali memperlahankan kayuhan. Apabila sampai di hadapan rumah berpagar cat putih bersih, aku memberhentikan basikal. “Hafiz! Hafiz!”
Seketika, pintu utama rumah dua tingkat itu terbuka. Penghuni dari dalam rumah itu berjalan keluar dengan langkah yang malas-malas. Namun begitu basikal BMX putih yang bersandar di sisi dinding rumah itu dicapai dan disorong keluar. Aku menanti sabar. Apabila jaraknya hampir dua meter dariku, dia lantas berkata, lemah sekali pada pendengaranku. “Jom.”
Itulah Hafiz, kawan yang paling rapat di kawasan perkampunganku. Kami sekelas, tetapi tidak pernah menyapa apabila basikal kami meluncur masuk ke perkarangan sekolah. Aku bersahabat dengan Kartika. Dia pula berkawan rapat dengan Hasrul dan Wee Boon. Aku tidak pernah mengendahkan dia yang duduk selang sebaris di belakangku di dalam kelas Enam A. Dia juga tidak pernah menegur aku walaupun berselisih bahu di koridor sekolah. Tiada siapa tahu siapa aku di matanya, atau siapa dia bagiku. Dan kami masing-masing merelakan situasi begitu. Paling penting bagiku adalah kedudukanku sebagai penolong Ketua Pengawas. Dan aku percaya dia sepertiku yang mengutamakan statusnya sebagai olahragawan sekolah.
Kami bermain bersama cuma apabila di rumah. Malah kami sering menyiapkan kerja sekolah bersama. Cikgu Rasyidah tidak tahu bahawa aku meniru latihan Matematik dari buku Hafiz. Cikgu Ooi pun tidak mungkin dapat mengecam tulisanku pada buku Grammar Hafiz. Kami merahsiakan segala-galanya dari sesiapa sahaja. Ayah dan ibu juga tidak tahu, malah tidak akan tahu.
Suatu hari aku dikejutkan oleh satu berita. Hafiz mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh di selatan tanah air. Aku terpana, Hafiz terkesima. Dengan sekeping surat tawaran itu akan membawa Hafiz jauh dari mataku. Ibunya begitu bersyukur; kerana itulah seekor lembu dan dua ekor kambing terkorban dalam meraikan pemergian Hafiz ke sekolah terulung itu.
Petang itu aku mencuci basikal miniku. Dengan bertungkus lumus aku menyental kesan tahi lembu yang telah kering melekat di rim tayar. Tambahan pula ibuku sering membebel kerana mengotorkan lantai garaj di hadapan rumah. Sesaat kemudian aku terdengar bunyi tayar bergesel dengan tar; agak kuat. Aku mengangkat pandanganku kearah jalan. Hafiz! Dia memandangku. Pandangannya tampak kosong. Namun dalam kekosongannya itu aku temui sesuatu. Kerana itu apabila dia berpaling dan meneruskan kayuhan aku bingkas bangun. Dengan basikal yang masih bersabun dan baju yang basah separuh aku menolak basikalku laju kearah pintu pagar dan mengayuh menuju ke satu destinasi yang aku begitu pasti.
Dari jauh aku sudah nampak basikal Hafiz terlantar di antara bunga-bunga lalang yang meliar di tepi padang terbiar itu. Aku turut mencampakkan basikalku di situ. Mataku tangkas mencari kelibat berbaju putih yang memaksa aku ke sini. Hafiz, di mana dia?
“Afeya! “
Aku menoleh ke kanan. Dia kulihat sugul, namun besusah payah mempamerkan senyum. Keaadaannya begitu membuatkan aku agak gelisah untuk menghadapi dia.
“Pukul berapa kau bertolak esok?” Aku menyapanya mesra seperti biasa sambil berjalan mendekatinya. Dengan sapaan itu aku harap dia tidak dapat mengesan keresahananku. Namun aku dapat rasakan suaraku bergetar dalam kemesraan yang dibuat-buat.
“Lepas ni siapa nak temankan kau ke sekolah?” Dia bertanya padaku tanpa menjawabpun soalan tadi. Aku kelu. Aku sendiri tidak terfikir keadaanku selepas ketiadaannya. Bagaimana? Aku memang penakut. Berbasikal dalam samar subuh amat sukar bagiku, sementelah aku memang percaya dengan cerita hantu dan bunian. Selama ini Hafiz setia menemaniku walaupun dia tidak perlu sampai di sekolah seawal aku. Dan juga menunggu aku dengan sabar sekiranya aku terpaksa menghadiri mesyuarat dengan guru disiplin atau guru besar. Jadi selepas ini bagaimana keadaanku?
“Kalau aku tak pergi kau suka tak?”
Aku terperanjat. Wajah lesunya kutatap rapat. “Jangan buat gila! Kau nak ayah kau mengamuk?”
“Aku tak pernah cakap aku nak pergi Afeya; mak ayah aku yang buat keputusan. Aku lebih senang bersekolah di sini, belajar dan bermain dengan kau.”
Aku menarik nafas panjang. Apa ayat yang terbaik yang harus aku katakan padanya agar dia mengerti bahawa aku juga sebenarnya tidak rela berjauhan dengannya. Namun dalam masa yang sama juga memujuknya agar pergi dengan hati yang terbuka. Aku kembali merenung dia. “Ada orang kata, kehilangan mengajar kita untuk menghargai. Aku harap kau faham.”
Kini gilirannya pula merenung aku. Dalam sekali renungannya hinggakan aku sendiri tidak tahu mentafsir ertinya. Nyata, aku menjadi semakin takut untuk menghadapi hari esok tanpanya. Kemudian dia bersuara, “Kau boleh tunggu aku?”
Aku tidak mengerti. “Tunggu kau pergi mana?”
Dia bingkas bangun dan menggesa aku agar turut bangun. Tangannya memaut pergelangan tanganku. Aku terpinga-pinga. “Ke mana pun aku pergi kau harus menunggu aku. Bukankah selama ini kau sabar menunggu aku tiap-tiap pagi?!” Katanya separuh menjerit ke telingaku. Dan dia terus berlari mencapai basikal miniku.
“Hafiz! Itu basikal aku!” Aku memekik kepadanya yang agak jauh meninggalkan aku. Dia berpaling sambil tersengih. Dan aku tanpa lengah terus mencapai basikal BMXnya.
“Tunggu aku Hafiz!” Aku menjerit sambil melajukan kayuhan.
Dia menoleh lagi kepadaku. “Kau yang kena tunggu aku Afeya. Kau tunggu!”
Dan basikal kami meluncur laju menuruni bukit berhutan lalang. Dalam hatiku berjanji akan menanti Hafiz. Tetapi untuk apa aku sendiri tidak tahu.
Dua belas tahun kemudian.
Hari Isnin. Alangkah bagusnya jika waktu tidak berlalu. Lalu pastinya aku masih berselubung di bawah selimut tebal walaupun matahari mula menjenguk diri. Hari ini kerja telah membataskan waktu tidurku. Dan kerana tanggungjawab, aku bangkit dari pembaringan.
Bau nasi goreng bawang putih menusuk masuk ke rongga hidung. Aku cepat-cepat memperkemaskan diri dan dengan sentuhan yang terakhir, segera kucapai tas tangan hitam dan terus berlari menuruni anak tangga. Kemudian kuhampiri meja makan dan menghirup teh panas dengan gelojoh sekali. Ibu memandangku tidak senang. “Duduk dulu Afeya, tersedak air panas tu…” Dan dihujung kata-katanya, aku benar-benar tersedak. Aduh!!!
“Sudah. Ambil ni makan kat office je nanti. Tu haa, bawak termos tu, ibu dah isikan dengan teh.sekali.” Panjang muncung ibu menunjukkan tupperware dan termos merah di penjuru meja. Aku mengesat sisa-sisa teh yang meleleh di hujung bibir.
“Dah lapan setengah ni Afeya. Pukul berapa nak sampai karang?!”
Aku tersengih sambil menghabiskan baki teh. Dengan satu ciuman di pipi ibu aku lantas mencapai bekal yang sediakannya dan berlari menuju ke pintu utama. Toyota Vios yang telah dihidupkan enjin itu telah sedia untuk menerima pemiliknya dan dengan bacaan Bismillah aku menekan minyak. Apabila keretaku mula bergerak aku melambaikan tangan kepada ibu yang berdiri di tepi pintu pagar. Terima kasih ibu kerana menyediakan segalanya, termasuklah memanaskan enjin kereta.
Aku melalui simpang tiga. Kuperlahankan kereta apabila kelibat sebuah teksi berhenti di bahu jalan rumah batu dua tingkat itu. Kerana jalan yang agak sempit, aku terpaksa berhenti dan menunggu teksi tersebut berlalu. Seorang lelaki tinggi lampai keluar dari perut teksi dan menuju ke arah boot teksi tersebut. Tiga buah beg yang besar dikeluarkan dan diletak di atas rumput. Aku mengeluh! Jam sudah menunjukkan pukul 8.40 pagi, tapi aku masih lagi belum keluar dari kawasan perkampunganku. Lecehnya…
Teksi itu berlalu. Kulihat lelaki itu mula mengangkat salah satu dari beg-begnya. Aku segera menukar gear untuk bergerak. Tapi tiba-tiba lelaki tersebut mengangkat wajahnya dan menoleh memandangku. Aku terpaku. Lelaki itu membatu. Pandangan kami bersatu. Lelaki berjambang nipis itu adalah dia yang kutunggu hampir berbelas tahun. Hafiz!
Bunyi hon dari belakang mengejutkan aku. Dia juga kulihat seperti baru terjaga. Kerana tiada pilihan aku terpaksa bergerak. Kutinggalkan dia dengan pandangan yang sukar untuk kujelaskan.
Di pejabat. Aku lebih banyak diam dari bercakap. Lebih banyak termenung dari membuat kerja. Aku tidak tahu apa yang kurasa.
Di pantry ketika aku mula hendak menjamah nasi goreng yang ibu bekalkan, aku mendapat sms dari nombor yang tidak kukenali.
Dave’s place.
Sms pendek itu benar-benar mengganggu aku. Pada mulanya aku abaikan saja dengan menganggap ada orang tersalah hantar, tetapi apabila aku menerima sms yang sama dalam tempoh tidak sampai lima minit, aku mula memberi perhatian. Patutkah aku menjenguk Restoran Dave’s di hujung bangunan pejabatku ini atau tidak melayan terus sms yang sudah 4 kali kuterima.
Setelah menghabiskan nasi goreng ibu, aku segera berjalan keluar dari pejabatku menuju ke Restoran Dave’s. Pada perkiraanku, apa salahnya aku pergi kerana waktu rehat masih berbaki 45 minit. Masih panjang untukku memperjelaskan apa yang masih kabur tentang sms itu.
Ketika kakiku menginjak ke dalam restoran tersebut, jantungku bergendang hebat. Aku memalingkan wajah ke kiri dan kanan, mencari sesiapa yang kukenal di tempat itu, namun sia-sia. Kutoleh lagi, tetapi kelibat manusia yang kukenal langsung tiada. Aku menarik nafas panjang. Lega dan hampa. Lega kerana aku tidak perlu berhadapan dengan sesiapa tetapi hampa kerana telah membuang masa dan tenaga ke situ.
Dengan yakin aku mula mengatur langkah menuju ke pintu. Tidak mengapalah, mungkin orang yang menghantar sms itu tersilap nombor. Namun alangkah terkejutnya aku apabila mataku tertancap pada seorang lelaki di meja kecil di sudut pintu restoran itu. Dia!
Langkahku terhenti. Degup jantungku makin hebat berlari. Dia memandangku tanpa sekalipun berkelip. Aku kelu. Tingkahku kaku. Dan aku melihatnya dengan hati yang beku.
Terasa canggung berdiri begitu, aku berkira-kira hendak keluar sahaja dari ruang ekslusif tersebut. Baru sahaja aku hendak melangkah, dia bangkit. Aku keras di situ sementara dia mula melangkah menghampiriku. Susuk tubuhnya jelas sekali menampakkan kematangan. Dengan kemeja putih Polo dan seluar berwarna khakis, ketara sekali ketampanannya. Tiba-tiba aku jadi malu. Sungguh malu.
“Afeya, tak kenal aku lagi?” Ujarnya sambil tersenyum.
Aku menelan liur. “Er, kenal. Er.. bila sampai?”
Dia tersengih menampakkan gigi taringnya yang tajam. “Pagi tadikan kau nampak aku, takkan dah lupa kot…”
Aku menjungkitkan bahu. “Tak perasanlah. Sorry.” Ujarku acuh tak acuh.
“Duduklah dulu, lagipun ofis kau dekat-dekat je, kan?” katanya sambil mula melangkah ke meja kecil tadi. Dalam debaran yang begitu kencang, aku menurut dari belakang.
“Dari mana kau dapat nombor telefon aku?” Aku bertanya walaupun jawapannya tidak penting bagiku, sebenarnya hanyalah sekadar menutup kegelisahan yang terpamer di wajah.
“Aku minta dari ibu kau. Dia yang beritahu kau kerja di sini.”
Aku mengangguk. Sekadar mengangguk.
“Dah lama aku tak jumpa kau, hampir sepuluh tahun kan?” katanya memulakan bicara seraya merenungku dalam-dalam.
Aku tidak selesa begitu, lalu kuukir sebuah senyuman pahit.
Dia memandang aku tepat ke mata. “Kau tak suka aku balik?”
Aku terkejut. Aku sedar, air mukaku berubah. Dengan pantas aku menolak kerusi yang kududuki kebelakang. “Aku nak balik ofis.”
Dia berdiri, menghadang jalanku untuk ke pintu keluar. “Kenapa kau berubah sampai begini Afeya. Kau tak suka aku ke?”
Aku menahan nafas. Tahap kesabaran aku sudah sampai di puncak namun aku diamkan diri. Dia semakin berani mendekati aku. Sampai satu tahap wajahnya terlalu dekat dengan wajahku dan aku tidak dapat membendung perasaanku lagi.
“Kau pandai berjanji Hafiz, tapi apa kau buat dengan janji kau? Sepanjang kau pergi, cuma tiga kali kau datang jumpa aku. Itupun tahun-tahun awal kau di sana. Selepas itu, aku cuma dengar cerita tentang kau. Tentang keputusan SPM kau yang cemerlang, tentang tawaran belajar kau ke UK, dan kau pergi pun tanpa memberitahu aku. Sekarang apa yang kau nak tuntut dari aku lagi?” ujarku separuh menengking.
Riak wajahnya tenang. Tiada senyuman, tiada cebikan. Sesaat. Dua. Tiga. Aku mengambil keputusan untuk pergi dari situ.
“Afeya, duduk dulu okay. Aku tahu kau marah aku.”
“Aku tak marah kau. Tapi aku kecewa dengan kau.”
Dia tersenyum. Kemudian mendekatkan wajahnya ke wajahku sekali lagi. “Kau kecewa? Bermakna kau memang menunggu aku?”
Aku menolak pipinya jauh-jauh. Dia kulihat semakin galak tersengih. Aku semakin hilang sabar. “Aku menunggu seorang kawan yang bernama Hafiz Hanafi, yang sudi menunggu aku tidak kira panas atau hujan sekalipun, bukan menunggu orang yang lupa janji seperti kau!” ujarku tertahan-tahan sambil menahan air mata yang mula bergenang. Aku melontarkan pandangan ke tempat lain, tidak mahu dia melihat aku yang hampir-hampir hendak menangis.
Dia tersenyum simpul. Aku menjadi semakin hairan dan sakit hati dengan perilakunya. Lalu air mataku terhambur keluar dengan mudahnya. “Aku benci kau.”
Dia kulihat begitu yakin. Sambil menyedut minuman dari gelas yang panjang itu dia membuka mulut. “Tak apalah kalau kau benci aku, tapi janganlah bencikan Hafiz Hanafi. Dia balik untuk mengotakan janjinya kepada Afeya Arifin, yang setia menunggu bertahun-tahun lamanya…. Dan satu lagi, Hafiz Hanafi tidak mengharapkan seorang kawan yang keras seperti kau. Dia mencari seorang Afeya yang lebih bernilai dari seorang kawan.”
Aku bagai terperosok di bawah kerusi. Kepalaku terasa berpusing 36 darjah dan aku tidak dapat melihat lagi lelaki yang bernama Hafiz itu. Yang dapat aku lakukan adalah berlari keluar meninggalkan ruang yang begitu merimaskan dan mencari keretaku di tapak parking. Aku tak dapat mencari jalan ke pejabatku lagi. Yang kunampak hanyalah destinasi lamaku.
Di kawasan berbukit itu bunga-bunga lalang semakin tinggi. Rumput-rumputnya juga tumbuh meliar menutupi betis. Sejak Hafiz pergi, aku cuma ke sini dua atau tiga kali. Tiada sebab untuk aku datang dan menjengah memori lama kalau dia sendiripun tidak pernah teringat untuk ke sini.
Di situ, aku menangis sunguh-sungguh. Kenapa dia balik? Bertahun dia meninggalkan aku sendirian meredah gelap subuh seorang diri, bertahun membiarkan aku menanggung kerja sekolah Matematik tanpa bimbingan, dan bertahun aku hidup tanpa kawan sepermainan. Begitu susah aku hendak menghadapi hari-hariku, begitu sukarnya aku membina masa depanku. Dan kini dia kembali menuntut janji? Itukah kawan?
“Afeya, maafkan aku.”
Aku berpaling? Dia di sini?
“Maafkan aku…”
Aku pantas mendongak melihat wajahnya. “Kukira kau dah lupa jalan ke sini. Baguslah, aku harap kau tak sesat mencari jalan pulang!” sinis sekali ayat-ayat yang terbit dari mulutku.
Dia bertinggung di sebelahku. “Diam tak bermaksud lupa Afeya. Walau sejauh manapun aku pergi, kau jugalah yang aku cari.”
“Kenapa kau nak cari aku? Kau orang terpelajar yang berpendidikan luar negara, sedang aku gadis kampung yang kolot dan patut dilupakan.”
Dia kulihat resah. Dahinya yang luas semakin ketara apabila rambutnya diseka kebelakang. Dia mengeluh perlahan. “Aku harap kau faham, aku balik untuk mengotakan janjiku dulu, kerana itu aku minta kau tunggu.”
Aku berang. Wajah mudanya kuratah sedalam-dalamnya. “Sekarang terbukti aku menunggu kau. Jadi apa yang kau nak pada aku sekarang?”
Dia turut berdiri. Kali ini terlalu rapat hingga aku rasa terlalu rimas dan sesak. “Afeya, sejak dulu aku ingin memiliki hati kau, tetapi aku tahu aku tak mampu berbuat begitu. Jadi memiliki kawan seperti kau sudah cukup bermakna bagi aku waktu itu. Kerana itulah aku meminta kau menunggu aku apabila aku sudah berdaya untuk berkata aku cintakan kau.”
Aku terpempam. Dia cintakan aku? Seorang kawan boleh mencintai kawannya sendiri?
“Terima kasih kerana setia menanti Afeya, aku menghargai kau lebih dari segala-galanya.”
Disember 2006.
Suasana petang Sabtu itu begitu harmoni. Meskipun riuh rendah suara saudara mara dan jiran-jiran sekampung memenuhi segenap ruang rumah tetapi segala-galanya masih terkawal. Aku yang sejak tadi hanya duduk didalam bilik hanya termenung memandang wajah sendiri di cermin.
“Mencari buluh hingga ke hutan
Seberang sungai mendaki gunung
Indahnya bunga jadi sebutan
Harumnya masyur ke serata kampung”
“Seberang sungai mendaki gunung
Dari cenuram hingga ke Selangor
Harumnya masyur ke serata kampung
Memikat hati kumbang seekor”
“Ke hujung kampung mencari pisang
Pisang ditanam di tepi tasik
Alangkah indah dunia si kumbang
Bunga dipuja menjadi milik”
Tiba- tiba telefonku berbunyi. Aku segera mencapai di sudut meja. Hafiz?
“Hello…”
“Macammana sayang?
Aku tersengih sendiri. “Dua belas ribu, ok?”
“Buat upah penat menunggu… hahaha!!!” Dan kami ketawa dihujung kata-kata.
1 comment:
ni cerita betul ke, tapi ada vios plak.
Post a Comment