Sunday, November 12, 2006

I Miss Somebody



Kuliah petang sebegini benar- benar menguji kekuatan mindaku untuk menahan mata daripada terpejam. Sudah puas aku membesarkan kelopak mata, menepuk- nepuk pipi sendiri namun ceramah Puan Rozita sedikitpun tidak dapat menarik perhatianku. Gambarajah yang terpancar dari projector itu juga tidak dapat mengalihkan perhatianku daripada terlelap. Akhirnya bunyi pen yang bergolek di hujung kasut menyedarkan aku. Aku membongkok mencapai pen. Aku lihat Puan Rozita masih lagi bersemangat di hadapan white board dan aku kembali terlena…
“Lydia, Puan Rozita…”
Aku membuka mata apabila tersedar lenganku dicuit dan suara Ayu yang mengejutkan aku. Aku lihat Puan Rozita nyata memfokuskan dirinya kepada aku. Wajahnya kelihatan serius.
“Awak, sila berdiri”.
Aku mengerutkan kening tertanya- tanya. Berdiri? Ini bukan sekolah. Kenapa perlu denda seperti ini? Hatiku memberontak, namun mahu atau tidak aku terpaksa berdiri.Seluruh isi dewan memandang aku ketika ini.
Tiba- tiba pandanganku terarah pada satu objek yang turut berdiri nun jauh di tepi dinding. Rupa- rupanya bukan aku seorang yang tertangkap semasa tertidur dalam kuliah petang itu.Aku tersengih sedikit. Pelajar lelaki tersebut kelihatan selekeh dengan rambut yang kusut dan wajah yang layu. Dia turut terpinga- pinga, seperti aku.
“Sejak tadi saya perhatikan awak berdua, mengantuk benar nampaknya. Saya suruh awak berdua berdiri bukan hendak menghukum awak, tetapi supaya awak tahu betapa ruginya orang- orang seperti awak. Saya tidak dibayar untuk mengulangi kuliah, jadi pandai- pandailah mencari peluang.”
Aku dapat rasakan darahku menyirap ke muka. Entah berapa tebal kulit muka aku tatkala ini mendengar kata- kata Puan Rozita. Malunya hanya tuhan yang tahu. Ayu yang duduk disebelahpun langsung tidak memandang aku. Sampai hati…
“Saya harap awak berdua faham. Sekarang saya minta awak berdua beralih ke tempat duduk di hadapan, untuk kebaikan awak berdua.”
Aku terlopong. Duduk di depan? Aku hampir- hampir tidak percaya. Duduk di hadapan bererti duduk di kerusi yang telah tersedia dengan keadaan menghadap ke arah kawan- kawan sekuliah, sedangkan aku tidak langsung mengenali sesiapa di sini kecuali Ayu dan beberapa pelajar perempuan. Ini minggu pertama aku di pusat matrikulasi terulung ini. Bayangkanlah betapa malunya mendapat pengalaman seperti ini. Alangkah…
“Cepat, beredar ke hadapan sekarang, saya hendak meneruskan kuliah kita yang tergendala.”
Demi sindiran yang begitu menghiris, aku terus mengambil nota dan melangkah ke hadapan. Begitu juga dengan pelajar lelaki tersebut. Wajahnya merah padam. Agaknya begitulah keadaan wajahku waktu ini.
Aku duduk di kerusi yang telah disediakan disebelahnya. Kemejanya yang berwarna merah hati itu kelihatan begitu selekeh kerana tidak digosok. Pasti dia berganda- ganda malu kerana seluruh dewan sedang tersenyum- senyum memandang kami. Aku terus menunduk memandang baju kurungku untuk memastikannya masih kemas. Perasaanku sedikit lega. Sekurang- kurangnya fokus mereka tidaklah terlalu tajam kepada aku kerana ada objek yang lebih menarik untuk mereka pandang. Aku menarik nafas lega. Akan tetapi tiba- tiba aku tersedar. Seluruh kuliah seperti sedang mengejek aku. Kali ini aku dapat merasakan keseluruhan wajahku bagai disimbah darah. Hampir aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa saat ini aku sedang memakai baju kurung berwarna merah hati!




Aku menghampiri Ayu yang sedang mengemas buku- buku rujukan di sudut meja. “Kenapa kau tak kejutkan aku tadi?”
Ayu memandangku sambil tersengih. “Aku kejutkan, tapi kau tidur balik. Malaslah aku nak monitor kau lagi.”
“Ayu, sekurang- kurangnya cuitlah aku bila aku dah tersengguk- sengguk. Janganlah sampai Puan Rozita yang suruh, baru kau nak cuit.” Aku berkata sedih untuk menarik simpatinya. Dia masih lagi tersengih- sengih, dan tanpa sebarang kata dia keluar. Aku mengeluh sendiri.
Oleh kerana aku bersendirian, aku mengambil keputusan untuk ke perpustakaan yang terletak di blok akademik. Aku segera bersiap. Aku sedar kerana sikapku yang kerap tertidur sewaktu kuliah boleh menyebabkan aku ketinggalan jika tidak disusuli dengan usaha. Dan aku pun sedar bukan semua orang akan bersedia untuk membantu apabila diminta; seperti Ayu. Jadi tentulah tidak manis jika setiap kali selepas kuliah nota Ayu yang aku minta untuk disalin semula. Jika sekali dua mungkin Ayu tidak kisah. Tetapi kalau setiap hari, pasti wajah yang manispun boleh bertukar masam. Dan paling penting bagiku tentulah persahabatan.

Pintu Perpustakaan Tun Sri Lanang 2 aku tolak perlahan. Kedinginan penghawa dingin di dalam menyambut kedatangan aku. Tanpa menoleh ke kiri atau kanan, aku segera melangkah ke rak- rak buku; dan pastilah di rak yang bertanda Biologi menjadi perhatian utama. Setelah memilih buku rujukan yang kurasakan sesuai dan dapat membantu, aku segera mencari tempat duduk. Dan oleh kerana aku hanya berseorangan pada malam itu, aku memilih meja yang sederhana kecil. Lagipun aku tidak memerlukan ruang yang besar. Memadailah untuk aku membuat rujukan dengan selesa. Lagipun perpustakaan nampak penuh dari kebiasaan. Walaupun keadaannya sunyi tetapi pergerakan manusia di dalam nampak begitu kalut. Aku segera memulakan kerja.
Setelah beberapa ketika tertunduk mencari ilmu dari dalam kitab yang bertajuk Genetic Engineering itu, aku mengangkat muka. Pandangan aku tertumpah pada seorang lelaki yang berT- Shirt putih di meja bertentangan. Dia nampaknya begitu sibuk menelaah tanpa mempedulikan sesiapa seperti esok adalah hari peperiksaan. Aku termangu- mangu sendiri. Beginikah perangai sebenar budak- budak cemerlang? Kebanyakan mereka datangnya dari sekolah- sekolah cemerlang seluruh Malaysia sedangkan aku bukan tergolong dalam kumpulan itu. Mungkin kerana itu aku tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang serba teratur oleh masa dan aktiviti; lalu mengakibatkan sikap sering terlena semasa kuliah, sukar untuk tidur dan sukar bangun pagi. Aku tidak pernah tinggal di asrama, jadi pengalaman pertama ini bagiku begitu payah. Aduhai…
Tiba- tiba pelajar lelaki tersebut mengangkat wajahnya. Pandangan kami bertemu. Kaca matanya yang terlondeh sedikit ke hidung itu ditolak ke atas. Aku cepat- cepat menyambung kerjaku menyalin nota. Wajahku tidak lagi diangkat sehinggalah aku menyedari lelaki itu beredar meninggalkan meja bersama beberapa orang kawan. Buat beberapa ketika aku memanggung kepala dan memicit lembut tengkuk yang sudah lenguh. Kali ini aku memandang segenap penjuru perpustakaan yang sudah agak lengang. Aku menguap sedikit dan pada waktu itulah pandanganku terarah pada pintu utama di mana pelajar lelaki di hadapanku tadi sedang merenung tajam kearahku. Aku terpana, dan dia terus berlalu!




Hari Jumaat adalah hari yang ditunggu- tunggu oleh Ayu. Apabila ditanya dia memberitahu bahawa dia tertarik melihat gelagat pelajar lelaki memakai baju Melayu. Aku hanya tersenyum tanpa sebarang komen kerana bimbang dia akan berkecil hati. Jauh di sudut hatiku tertanya- tanya di manakah keunikan lelaki yang berbaju Melayu seperti yang dimaksudkan oleh Ayu? Bagi aku mereka semuanya sama. Warna baju sahajalah yang membezakan mereka selain dari rupa bentuk fizikal. Mungkin aku tidak memiliki kesenian yang ada pada diri Ayu maka aku tidak nampak keindahan yang dikatakannya. Aku tidak kisah.
Kuliah Matematik oleh Encik Azlan pagi itu aku ikuti dengan lancar walaupun acapkali aku menguap luas. Ayu seringkali merengus apabila aku menguap kerana katanya aku betul- betul tidak sopan kerana tidak menghiraukan seisi dewan kuliah. Aku pula langsung tidak mempedulikannya sehinggalah attendant list tiba ke tempat aku. Setelah terjumpa nama dan nombor matrik milikku, aku segera mangangkat pen untuk menurunkan tandatangan. Namun pada ruang yang disediakan telah ada sebuah tandatangan yang menyerupai tandatanganku. Tanganku terhenti. Attendant list baru sampai ke barisan ini, bila pula masanya aku menurunkan tandatangan? Kepala yang tidak gatal aku garu. Kemudian aku semak kembali nama penuh dan nombor matrik. Lydia Latif. WO200174. Memang tepat. Tetapi dihujung namaku tertera tulisan pensel yang berbunyi ‘sleeping beauty’. Aku mengangkat kepala. Siapalah yang hendak mengenakan aku pula? Tanpa lengah aku segera memadamkan tulisan tersebut dan membiarkan tandatangan tiruan itu. Tidak mengapalah kerana tandatangan itu memang serupa.
Aku segera memberikan list tersebut kepada Ayu tanpa menceritakan kepadanya. Bagiku itu adalah perkara remeh yang tidak perlu diberitahu kepada orang. Lagipun aku bimbang Ayu akan menempelak aku kerana perangai aku yang selalu mengantuk di dalam kuliah. Rasanya aku tidak sanggup mendengar Ayu berkata ‘padan muka’ kepada aku lagi. Cukuplah pada hari aku dipanggil duduk bersanding bersama Farizen di depan oleh Puan Rozita. Aku tidak mahu mendengarnya lagi.
Aku kembali menumpukan perhatian kepada ceramah Encik Azlan. Sesekali Ayu mencuit aku untuk menyatakan perasaannya melihat beberapa orang pelajar lelaki yang dipanggil datang ke depan untuk menyelesaikan soalan Matematik yang diberi dengan berpakaian baju Melayu lengkap. Aku hanya mengiyakan kata- katanya kerana aku bertungkus- lumus menyalin semula jawapan yang diberikan oleh mereka. Aku bukan secerdik mereka semua kerana subjek Matematik merupakan subjek yang paling lambat untuk aku kuasai.
“Lydia Latif. Selesaikan persamaan linear dalam satu anu melalui kaedah pemerinyuan.”
Aku terlopong. Pen yang kupegang hampir terjatuh. Namaku dipanggil oleh Encik Azlan? Bererti aku perlu ke depan dan menyelesaikan soalan tersebut pada whiteboard. Di depan pelajar yang berjumlah seratus lima puluh orang? Peluh halus mula merenik turun di belakang tengkuk. Perasaanku seperti hendak pitam kerana di bawah tajuk ini aku belum betul- betul memahaminya. Apa yang akan aku tulis nanti? Aku melihat wajah Encik Azlan yang masih mencari- cari gerangan empunya nama sambil menyemak attendant list yang berada pada tangan kanannya. Di dalam hati aku merintih- rintih, kenapa nama aku juga yang dipanggil? Sementara Ayu buat kali kedua menyinggung lengan menyuruh aku pergi.
Rela atau tidak aku terpaksa bangun dan berjalan ke hadapan. Senyum Encik Azlan begitu manis seolah- olah bersedia untuk menyorak kekalahan aku. Aku mencapai pen hitam yang dihulur oleh Encik Azlan dan kupegang kejap agar tidak terjatuh. Aku sedaya upaya menghadkan pandangan agar tidak melihat seluruh kuliah kerana aku akan gementar melihat wajah- wajah cerdik itu. Lalu tanpa perancangan yang rapi aku menconteng whiteboard itu mengikut naluriku. Betul atau salah aku tidak mahu tahu. Kemudian pada satu tahap aku sungguh- sungguh terasa seperti mahu menangis kerana tiada lagi idea yang keluar dari otak sedangkan jawapan belum lagi ditemui. Tanganku terhenti pada hujung angka yang kutulis. Aku mencari kekuatan untuk menoleh ke belakang melihat Encik Azlan dan dia kulihat tersenyum simpul.
“Ada sesiapa volunteer hendak menyambung kerja Lydia?” Suara Encik Azlan memecah ruang dewan yang sepi. Buat seketika suasana benar- benar sunyi. Nampaknya tiada siapa yang menyahut cabaran Encik Azlan. Dan aku tidak berani melihat sesiapa lagi kecuali melihat kakiku yang bersarung Kickers hitam. “Sesiapa yang dapat selesaikan soalan ini saya beri tambahan 10 markah untuk subjek ini.”
Tiba- tiba derap tapak kaki kedengaran dan secara automatik aku menoleh ke arah itu. Di sana seorang pelajar lelaki berbaju Melayu biru tua sedang melangkah ke hadapan. Seluruh isi dewan memandangnya dan tiba- tiba lututku terasa seperti hendak tercabut. Dia ialah pelajar lelaki yang kutemui di perpustakaan dua hari yang lepas, yang mempunyai renungan setajam mata helang. Aku menjadi semakin resah.
Setibanya di depan dia menghulurkan tangannya kepadaku. Aku terpisat- pisat memandangnya; namun apabila menyedari pen hitam yang masih berada dalam genggamanku, aku segera menyerahkan kepadanya. Aku lantas mengatur langkah hendak beredar tetapi ditahan Encik Azlan. “Awak tunggu di sini dan lihat bagaimana dia menyelesaikan soalan ini kerana awak belum mendapat jawapannya.”
Maka berdirilah aku di sisi whiteboard melihat dia menyambung kerjaku yang tidak siap. Dia nampak begitu yakin semasa menulis dan aku percaya dia pasti akan menemui jawapan.
Selepas simbol jawapan dilakar, dia merenung aku yang masih samar- samar mencari kehafaman. Aku tersentak. Pandangan itulah yang dilemparkan kepada aku pada malam itu. Kemudian dia beralih ke sebelahku untuk memberi ruang kepada Encik Azlan menyemak jawapan yang diberikan. Dan nampaknya Encik Azlan bersetuju dengan jawapannya.
Setelah memberikan namanya kepada Encik Azlan kami terus beredar. Muhammad Saifuddin… Namanya bermain- main di kepalaku…




Selepas sebulan aku berada di pusat mastrikulasi itu hubunganku dengan rakan sekuliah semakin rapat. Kalau dulu aku hanya ada Ayu untuk bercerita samada siang atau malam; tetapi kini pergaulan aku semakin meluas. Dengan penyertaan aku di dalam Majlis Tertinggi Jurusan, aku semakin menyedari bahawa sikap seseorang itu boleh dilentur. Malah aku juga semakin berkeyakinan untuk berinteraksi dengan orang ramai apatah lagi ketika dipanggil berucap di hadapan beratus orang pelajar. Farizen, pelajar yang didenda bersamaku semasa kelas Biologi itu rupa- rupanya
merupakan wakil pelajar. Dialah yang memperkenalkan aku kepada Majlis Tertinggi.
Selain dari itu aku juga telah menyertai sidang redaksi pusat di mana telah menemukan aku dengan Christ dan Hazira. Mereka berdua merupakan pelajar senior namun bagiku tiada langsung ruang pemisah antara kami. Dan tidak melampau kalau aku katakan keakraban aku dan Hazira sekarang melebihi hubunganku dengan Ayu! Kemudian aku mengenali Jay, rakan sebilik Christ dan juga Jas Amir, presiden persatuan mahasiswa Islam.
Sebenarnya satu cerita yang baru aku tahu setelah mengenali mereka ialah seawal semester semasa aku dan Farizen dihukum oleh Puan Rozita, kami sebenarnya mula menjadi topik perbualan hangat seluruh kolej. Menurut pengakuan Jas Amir yang mempunyai hubungan baik dengan semua pensyarah, Puan Rozita sengaja bertindak demikian kerana hampir semua tenaga pengajar di kolej itu memberi komen yang sama terhadap kami; tertidur semasa kuliah! Aku begitu terkejut; begitu juga Farizen. Kami tidak menyangka betapa ketaranya perangai buruk kami sehingga mendapat perhatian para pensyarah. Aduhai… Namun jauh di sudut hati aku berterima kasih kepada Puan Rozita kerana hingga ke saat ini aku begitu menjaga tatasusila. Mungkin Farizen juga. Tetapi sungguh aku terkejut apabila aku menjumpai buletin bulanan keluaran lepas yang diterbitkan oleh sidang redaksi pusat. Kisah ‘pengantin mengantuk’ menjadi tajuk utama muka hadapan dan terang- terang muka aku dan Farizen lengkap berpakaian dengan warna yang sama- merah hati. Pada mulanya memang aku terasa seperti hendak mengamuk memandangkan semua kolej Matrikulasi seluruh Malaysia menerima edaran buletin tersebut. Tetapi apabila difikir secara rasional, aku tidak perlu pun berbuat begitu. Kepahitan hanya terasa pada peringkat awal, penghujungnya nanti aku akan rasa manisnya. Begitulah kata Hazira seraya memujuk aku. Dan orang yang bertanggungjawab menghantar gambar ‘persandingan’ itu kepada sidang redaksi pusat- dialah!




“Ada orang penting nak jumpa kau.”
Aku dan Hazira serentak berhenti mengunyah Pringles. Kelibat Ayu yang sedang rancak berlari di tengah gelanggang bola jaring terus kutinggalkan menggantikan wajah Farizen yang cuba berlagak sombong. Aku cuba merapatkan kedudukan kami memandangkan Hazira berada di tengah- tengah. “Aku atau Hazira?”
Farizen mengerutkan muka memandang aku, kemudian beralih kepada Hazira. Dia masih dengan gaya angkuh, memandang kami berdua bersilih ganti bagai ada yang tak kena pada ayatku tadi sambil mengunyah Pringles. Aku makin geram dengan perbuatannya lantas menendang kakinya yang terjulur ke dalam longkang. Dia mengaduh kecil, dan Hazira ketawa besar.
“Tunggulah aku sudahkan ayat, korang ni gelojohlah!” sambungnya lagi sambil menggosok- gosokkan betis kirinya yang disaluti stoking setinggi paras lutut. Gelojoh? Telingaku berdenyut mendengar perkataan terakhirnya dan spontan Hazira menendang kaki kanannya pula. Dan kali ini dia terus melompat jauh dari kami berdua. Kami ketawa besar melihat dia mengaduh. “Rasakan!” Hazira menyeranah dengan nada bergurau.
“Kau ni macam jantanlah! Malaslah aku jadi broker lagi. Bukan dapat untung, sakit adalah!”
Kami menghabiskan saki baki tawa melihat Farizen berjalan terenjut- enjut meninggalkan pinggir gelanggang. Pandangan kami kembali tertumpu pada perlawanan bola jaring yang berlangsung. Ayu begitu tangkas menangkap bola dari tangan pasukan lawan dan akhirnya membawa kepada penjaring. Dan horray! Bunyi sorakan melayang di udara.
Tiba- tiba aku teringatkan Farizen. Kasihan dia, tentulah sakit tulang ketingnya walaupun perempuan yang menendang kerana struktur tubuhnya bukanlah berisi benar. Perasaan simpati mula menjalar dalam tubuh. Aku segera menoleh ke belakang mencari bayangnya. Namun apa yang ku nampak… “Muhammad Saifuddin?”
Demi mendengar nama itu, Hazira segera menoleh ke belakang. Tentu dia kehairanan dengan aku. Selama ini aku tidak pernah bercerita tentang lelaki itu kepada sesiapapun, hatta Hazira sekalipun. Apa kata dia nanti? Tetapi ketika ini perasaan gementar sedang mengatasi rasa bimbang. Melihat dia merenungku begitu membuatkan aku sesak nafas. Berdebar? Sudah tentu. Dan tiga meter dari jaraknya, Farizen berdiri mencekak pinggang. “Apa lagi kau tunggu di situ?”
Aku terpinga- pinga. Aku tidak mengerti maksud Farizen. Siapa yang menunggu? Aku tidak mengunggu sesiapa. Hazira juga tidak. Namun sesaat selepas itu, Hazira menepuk bahuku lembut dan terus mengangkat kaki menuju mendapatkan Farizen.. Mereka bercakap- cakap sebentar dan tanpa sebarang penjelasan mereka menuju ke café. Aku kebingungan. Kenapa mereka meninggalkan aku di sini? Dan bagaimana mungkin Muhammad Saifuddin berada di sini?
Aku mengambil keputusan untuk tidak menunggu perlawanan bola jaring tamat kerana perasaanku terlalu janggal bila berhadapan dengan lelaki itu. Apatah lagi dengan renungan setajam itu aku tidak mungkin dapat bertahan lama. Lebih baik aku beredar. Aku bingkas bangun.
“Lydia, boleh tunggu sekejap?”
Aku tersentak? Dia tahu namaku? Aku memandangnya dengan ekor mata.
“Sayalah orang yang hendak bertemu Lydia. Farizen tidak cakap?”
Aku terpaku. Diakah yang Farizen maksudkan? Muhammad Saifuddin yang mempunyai mata helang itu? Muhammad Saifuddin yang menolongku semasa kuliah Matematik? Tapi kenapa?
Dia berjalan perlahan- lahan menghampiri aku. Kemudian dengan sopan dia bertanya, “Boleh saya duduk di sini?”
Aku yang separuh bermimpi itu segera mengangguk. Kini kedudukannya kurang satu meter dari tempat aku duduk. Pandangan yang kulontar ke gelanggang pula langsung tidak memberi erti kerana aku masih lagi terkejut dengan kehadirannya. Fikiranku sekarang seratus peratus berfikir tentang dia.
“Lydia, saya kawan sebilik Farizen.”
Aku lantas menoleh kepadanya. “Farizen?”
Dia terseyum mendengar perkataan pertama yang keluar dari mulutku. Jantungku semakin berdegup kencang. Apalah cerita yang dibawa oleh Farizen kepadanya? Saban hari kami bersama, tentulah tidak susah untuk bercerita. Aduhai….
“Sebenarnya saya menyedari Lydia sejak hari pertama kita di dewan kuliah. Saya duduk betul- betul di belakang awak.” Ucapnya perlahan sambil mengiringkan sedikit kepalanya ke arahku.
Aku tersentak. Sehingga ke hari ini aku tidak pernah menoleh ke belakang apabila berada di dewan kuliah kerana sibuk menyalin jawapan pada whiteboard. Apatah lagi dengan keadaanku yang sering mengantuk, memang langsung tidak kuhirau keadaan sekeliling.
Aku memberanikan diri mengangkat muka membalas renungannya. Ahhh, baruku sedar ketampanannya selama ini. Kaca matanya pun tidak dapat menutup sinaran pandangannya. Aku benar- benar terpukau.
“Saya tertarik dengan Lydia. Awak nampak comel dengan muka mengantuk. Bila kawan awak kejutkan, awak terjaga. Tapi kemudian tertidur balik.”
Aku tersengih kecil. Jadi selama sebulan ini, dia duduk dan mengintip gerak geri di belakangku? Pastilah segala tabiat burukku dapat dilihat terang- terangan. Entah- entah aku ada berdengkur? Alangkah malunya aku… alangkah!
“Jangan risau, awak tak berdengkur.”
Dan kami sama- sama ketawa dihujung kata- katanya. Wajahnya begitu ceria ketika itu, begitu berbeza dengan perwatakannya sebelum ini. Matanya yang kecil dan redup itu semakin mengecil apabila dia tergelak begitu. Dan bibirnya yang tipis kebasahan itu semakin terserlah merahnya. Aku? Aku tentu saja menikmati sepuas- puasnya kekacakkan yang berada di depanku ketika ini. Aduhai…
“Lydia, sudah lama saya memerhatikan awak bersama Farizen. Saya suka melihat awak ketawa. Dulu saya selalu cakap kepada Farizen saya hendak ketawa bersama- sama awak, tetapi hari ini impian saya tercapai.”
Tawaku terus terhenti. “Tapi kenapa saya?”
Dia mengeluskan rambutnya kebelakang dan kemudian merenungku kembali. “Kerana saya telah menemui keaslian pada wajah dan hati Lydia.”
Aku hampir- hampir sahaja tersedak mendengar jawapannya. Air mukanya nyata menjelaskan ketulusan namun aku masih lagi belum berpuas hati dengan jawapan yang diberi. Tidak mungkin dia mengenali aku sedalam itu.




Sejak petang itu hubunganku dengan Muhammad Saifuddin terjalin. Pandangan pertamaku padanya adalah dia seorang yang begitu menyenangkan. Walaupun aku lebih dahulu mengenali renungannya, namun aku mula sedar pendekatannya sebegitu adalah demi memancing perhatianku. Aku akui sekiranya dia tidak memanah aku dengan mata helangnya, aku mungkin hanya mengenali Muhammad Saifuddin yang pernah membantuku suatu ketika dulu. Aku bukan secantik Ayu yang sering menjadi perhatian umum. Juga bukanlah sepopular wakil pelajar, Farizen. Aku hanya seorang gadis biasa yang sedang menyesuaikan diri dengan suasana yang serba baru. Persekitaran sistematis yang menjadi cara hidup kebanyakan pelajar di sini di mana aku pula umpama semut hitam di dalam sarang semut api. Dan menurut kata Muhammad Saifuddin kelainan itulah yang mendesak dirinya untuk mengenali aku. Kerana aku yang berwajah sembab? Atau kerana kepalaku yang tersengguk- sengguk duduk hadapannya?
Kerana petang itu jugalah terbongkar rahsia yang selama ini aku pendam seorang diri. Rupa- rupanya dialah orang yang meniru tandatanganku pada attendant list. Aku benar- benar terkejut. Muhammad Saifuddin? Sukar untuk kupercaya; tetapi setiap orang punya cara untuk memancing kesedaran gadis impiannya. Sebelum ini tidak langsung terlintas di hatiku bahawa tandatangan itu semata- mata untuk menarik perhatianku. Rupa- rupanya andaian tentang orang yang hendak memainkan aku salah sama sekali. Aku sekali lagi terkejut kerana baru aku tahu, akulah ‘sleeping beauty’nya…



“Tunggu saya di tepi padang.”
Aku memandang Ayu yang sedang tersengih simpul. Bisikan dari belakang tadi sememangnya cukup perlahan tetapi kedudukan antara aku dan Ayu telah membenarkan telinganya turut menangkap setiap butir bicara. Tanpa memandang ke belakang, aku terus mengangguk.
Setelah Encik Johari beredar, aku dan Ayu segera mengemaskan nota- nota Fizik. Kemudian kami bangun dan berjalan keluar dari dewan.
“Selepas ni aku ada latihan bola jaring, sambil berdating tu intai- intailah aku okay?!”
Aku segera mencubit lengan Ayu yang sedang menahan tawanya. Kemudian kami berpisah. Dia berjalan terus balik ke bilik untuk menukar pakaian; sementara aku membelok ke kiri untuk ke kawasan padang. Dari jauh aku sudah mengecam susuk tubuh Muhammad Saifuddin yang tinggi lampai berkemeja hijau lumut. Dia berdiri di situ seorang diri menikmati pemandangan di padang.
“Assalamualaikum, maaf terlambat.”
Dia lantas menoleh ke belakang, kemudian tersenyum. “Waalaikumsalam.”
Aku meletakkan beg sandangku di atas bangku yang tersedia. Kemudian berdiri di sampingnya. Dia hanya melihat perbuatanku dengan ekor matanya.
“Ada apa Saifuddin hendak berjumpa saya?” Aku bersuara tanpa memandangnya. Perasaanku menjadi gemuruh apabila melihat pandangannya; maka kerana itu aku tidak berani mengangkat muka.
Dia menoleh sedikit memandangku. Lama dia berbuat begitu sehinggalah aku membalas pandangannya. Wajahku merona merah menahan malu. Walaupun aku pernah duduk dan bercakap dengannya sebelum ini, perasaanku masih lagi gementar dengan pandangan matanya. Lagipun sejak aku mengetahui bahawa dia duduk di belakangku di dalam dewan, aku tidak pernah berani hendak menoleh ke belakang; apatah lagi hendak berbual- bual dengannya. Aku bukan seorang gadis yang mudah mesra dengan sebarangan orang, tidak juga dia. Dia…
Dia lantas tersenyum. “Kalau saya kata saya saja- saja nak jumpa Lydia bagaimana?”
Aku tercengang. Saja- saja nak jumpa? Apa maksudnya? “Maksudnya?”
Senyumnya semakin nakal dan aku terus kehilangan kata- kata. Betapa indah senyumnya, baru hari ini aku sedar. Butakah mataku sebelum ini?
“Maksudnya saya hendak bercakap dengan Lydia. Kita jarang dapat bertemu walaupun setiap hari duduk bersama. Lydia faham maksud saya kan?”
Aku mengangguk beberapa kali walaupun kata- katanya tadi bukanlah aku faham benar. Aku lebih memberi perhatian kepada matanya daripada mulutnya. Ahhhh…
“Sejak seminggu ini saya rasa Lydia tak tertidur lagi kan? Kenapa? Segankan saya?”
Aku tersenyum. “Mungkin juga. Tetapi mengantuk tetap ada…”
Dia ketawa kecil, begitu juga aku. Kemudian dia kembali merenung mataku. “Kalau saya tak ada, Lydia akan tertidur balik, macam dulu?”
Ketawaku terhenti. Renungannya kali ini nampak berat. Aku dapat rasakannya. Tetapi apa maksudnya dengan berkata begitu? “Saya tak faham, apa yang awak nak terangkan kepada saya?”
Dia mengetap bibirnya yang sedia merah. Kemudian dia mengeluarkan sekeping sampul surat coklat dari dalam celah buku- bukunya. Sampul itu dibuka dan isinya diserahkan kepada aku. Aku tertanya- tanya dengan tindak tanduknya, tetapi tanpa kata aku terus mengambil helaian putih tersebut.
Seketika, jantungku terus bergendang. Tanganku mula berpeluh; dan akhirnya aku kembalikan surat tersebut ke tangannya. Dia kelihatan begitu tenang sambil memasukkan kembali kertas itu ke dalam sampulnya. Kemudian dia kembali memandangku. “Lydia belum jawab soalan saya.”
Aku mengeluh tanpa memandang ke wajahnya lagi. Hatiku betul- betul terasa sayu dan aku tidak mahu dia membaca fikiranku ketika ini. Kerana itu aku enggan wajahku ditatap olehnya lagi. Lalu aku capai beg sandang di atas bangku.
“Lydia, tunggu…”
Pergerakanku terhenti. Pergelangan tanganku dicekak oleh tangan kanannya dan aku terpaksa melepaskan peganganku pada beg. Kini dia beralih berdiri di depanku. Pandangan kami bertaut buat beberapa ketika tetapi kemudian aku segera memandang ke tempat lain.
“Lydia, saya nak pandang awak puas- puas. Saya pasti takkan dapat mencari wajah setulus awak di sana. Awak juga pasti takkan dapat mencari renungan setajam ini lagi di sini…”
Aku segera memandangnya kembali. Wajahnya serius. Seketika, aku menjadi sebak. Aku pun tidak faham apa yang kualami ketika ini. Aku bukanlah mengenali dirinya sedalam aku mengenali rakan- rakan yang lain. Hanya beberapa kali kami bertemu. Kemudian sekarang apabila dia menunjukkan surat tawaran menyambung pengajiannya di luar negara, aku tiba- tiba terasa sunyi. Apakah sebenarnya yang aku alami sekarang? Aku benar- benar bingung.
“Lydia, saya faham perasan awak. Tidak perlu awak menjelaskan kepada saya kerana saya juga berperasaan begitu.” Lembut dia menuturkan kata- katanya kepadaku. Hatiku menjadi semakin sebak.
“Saya tahu, awak baru sahaja hendak menerima saya, kemudian saya pula terpaksa pergi. Saya minta maaf kerana mencipta keadaan ini.” Sambungnya dengan nada yang lemah sambil memandang ke tanah.
Aku menarik tanganku perlahan dari genggamannya. Dia kulihat tersentak dengan tindakanku. Kemudian aku memberanikan diri merenung ke dalam matanya. “Saifuddin, awak bawalah ingatan terhadap saya ke mana- manapun, saya pasti takkan tertidur…”
Dia tersenyum. Aku turut tersenyum. Kemudian kami ketawa. Seketika dia membuka semula bicara. “Farizen berikan ini kepada saya. Saya harap Lydia tidak marahkan dia.” Katanya sambil menunjukkan beberapa keping gambar aku. Salah satunya adalah ‘hari persandinganku’ di kuliah Biologi bersama Farizen. Aku kemudian tergelak. Dia juga.
“Sebenarnya saya suka melihat Lydia mengantuk, ketawa, tergamam. Apabila saya tengah marahpun, saya boleh tersenyum. Reaksi yang pelbagai itu saya takkan temui pada sesiapa lagi selepas ini. Kerana itu saya minta Lydia menunggu saya kembali. Lydia setuju?”
Mataku berkelip- kelip memandangnya. Menunggunya kembali?
“Tapi awak belumpun kenal hati budi saya…”
“Masa akan tunjukkan keikhlasan masing- masing. Lydia jangan bimbang kerana saya tidak akan mendesak Lydia supaya membuat keputusan. Saya cuma minta Lydia tunggu saya, bolehkan?”
Aku mengangguk walaupun hatiku berkata ‘entah’. Aku tidak pasti apakah jenis perhubungan kami jadi kenapa perlu aku bersetuju untuk menunggunya? Lagipun aku langsung tidak kenal siapa Muhammad Saifuddin yang sebenar. Hanya nama, itulah sahaja yang terpahat di minda bersama renungan tajam yang telah lama terukir di hati. Ahhhh…
“Entah apa saya nak berikan kepada Lydia sebagai kenang- kenangan, cuma saya harap Lydia terimalah ini…” dia mengeluarkan sesuatu dari dalam beg sandangnya dan memberikan kepadaku. Bungkusan yang terpampang jenama Armani Exchange itu mengejutkan aku. Aku rasa aku dapat meneka apa kandungannya berdasarkan saiz kotak. Aku menoleh memandangnya. “Bukalah, saya harap Lydia suka.”
Seperti yang kujangka, seutas jam tangan comel terhias cantik di dalam kotak biru baldu. Aku betul- betul terharu, selebihnya malu kepada Muhammad Saifuddin yang tengah menyaksikan reaksiku ketika ini. “Terima kasih, tetapi saya tiada apa- apa yang boleh diberikan kepada awak.” Kataku merendah diri sambil menutup kembali kotak jam mewah itu. Dia hanya tersenyum nakal sambil mengangkat keningnya beberapa kali. Aku kehairanan melihat reaksinya. “Ada apa?”
Dia memandang tangan kiriku, kemudian memandang kembali ke wajahku. “Kalau Lydia tidak keberatan, berikanlah cincin silver yang sedang Lydia pakai. Saya akan pakai cincin itu sampai bila- bila, saya janji.”
Aku tersentak. Cincin silver semurah ini hendak dibandingkan dengan jam tangan semahal ini? Aku terkesima.
“Lydia, saya tidak menilai barang hanya dengan harga. Saya yakin cincin ini sudah lama menemani kehidupan awak. Mulai sekarang biarlah ia menemani kehidupan saya pula. Sekurang- kurangnya, saya dapat mengingati Lydia setiap saat cincin ini di jari saya. Boleh?”
Demi mendengar penjelasannya yang nampak tulus itu, aku segera menanggalkan cincin dari jari hantu yang kupakai sejak aku di tingkatan tiga lagi. Kemudian kuletak di atas tapak tangannya. Dia tesenyum lantas menyarungkan cincin itu ke jari kelingking. Ianya muat dengan jarinya yang panjang dan runcing. “Terima kasih Lydia. Saya akan menghargainya seperti saya menghargai hubungan kita.” Ucapnya ikhlas.
Aku terkedu. Kepetahannya berkata- kata membuatkan aku semakin sayu. Muhammad Saifuddin, mengertikah kau apa yang aku tanggung ketika ini?
“Lydia, jam tangan itu akan membuktikan keikhlasan saya terhadap awak. Pakailah, tempohnya akan bermula sekarang. Jadi sekurang- kurangnya kita dapat memendekkan masa menunggu.”
Aku melihat wajahnya, tiada sedikitpun kesedihan terpamer. Dia betul- betul teruja untuk melihat aku memakai hadiah pemberiannya. Lalu tanpa berlengah lagi aku membuka semula kotak hadiah tersebut. Jam tangan yang nampak anggun itu aku sentuh penuh hati- hati. Kemudian aku pakaikan pada pergelangan tangan kananku. "Terima kasih Saifuddin. Saya akan tunggu waktu itu.”
Dia tersenyum berpuas hati. Lalu dia mencapai beg sandangku dan dihulurkan kepadaku. Kemudian dia mengambil beg sandangnya dan digalas di bahu kirinya. Aku hanya melihat tingkah lakunya.
“Sebenarnya saya sudah menguruskan urusan di kolej, dan barang- barang saya juga sudah dikemaskan. Saya perlu balik ke rumah petang ini juga kerana saya perlu menyelesaikan urusan saya dengan pihak penaja. Saya minta maaf Lydia kerana tidak memberitahu awak seawal yang mungkin. Saya harap awak faham.”
Aku kaget. Dia akan pergi secepat ini? Tapi…
“ Banyak yang perlu saya terangkan kepada Lydia supaya Lydia benar- benar memahami hubungan kita, tetapi tidak sempat. Saya kira sepucuk surat ini dapat menerangkan segala- galanya. Sekali lagi saya minta maaf. Saya perlu pergi sekarang, ibu bapa saya sudah menanti di luar.”
Dia mencapai tangan kananku, kemudian merenung ke dalam anak mataku. Aku terdiam tanpa kata. “Walaupun Lydia tertidur seribu tahunpun, saya akan kembali untuk mengejutkan awak. Selamat tinggal!” dan dia berlari meninggalkan aku.
Dan saat ini air mataku merembes turun dari kolam mata. Muhammad Saifuddin, aku belum bersedia untuk perpisahan ini…




Malam itu selepas Isyak aku hanya berbaring di katil. Jam tangan pemberian Muhammad Saifuddin aku tenung sedalam- dalamnya bagai ada wajah yang terpapar pada permukaan jam itu. Saat ini aku rasa benar- benar sepi. Ayu yang telah mengetahui cerita petang tadi telah lama turun ke café, mungkin mahu memberi ruang sentiment kepadaku. Hazira juga tidak kelihatan walaupun sebelum ini saban malam dia akan bertandang ke bilik ini.
Aku berguling- guling di atas katil, tidak pasti adakah aku sudah bersedia untuk membaca kandungan kertas biru pemberian Muhammad Saifuddin. Tetapi apa yang pasti hatiku sungguh- sungguh merintih meminta aku membaca lembaran tersebut. Dan aku…

Lydia yang baik, saya fikir mungkin hati Lydia masih berbelah bahagi dengan apa yang kita alami hari ini. Saya tidak menyalahkan Lydia kerana sayalah orangnya yang membawa Lydia menghadapi peristiwa ini.
Lydia gadis manis, orang akan tertanya- tanya kenapa saya mengambil keputusan secepat ini untuk memegang satu komitmen. Saya yakin apa saja jawapannya orang tetap tidak akan berpuas hati, kerana jawapan saya bukanlah untuk memuaskan hati orang. Utamanya adalah hati Lydia.
Kemurnian yang saya nampak adalah asli dari dalam diri Lydia. Saya hairan, mengapa kemurnian itu saya tidak nampak dari dalam diri gadis lain? Selama ini saya tercari- cari sehinggalah saya menemuinya pada cahaya yang terbit dari dalam renungan Lydia.
Lydia, saya optimis dengan pilihan saya untuk ke luar negara, namun saya juga tidak dapat menyangkal keyakinan yang maha tinggi terhadap awak. Kerana yang bernama tanggungjawab itulah memegang janji saya terhadap Lydia. Dan kepercayaan saya terhadap Lydia juga bukan calang- calang hendak diberi kepada sebarang orang. Alasannya hanya satu, kerana Lydia adalah Lydia.
Akhirnya, saya tetap akan jauh dari Lydia. Puteri beradu, selamat tinggal.

Tulus ikhlas,
Muhammad Saifuddin


Aku mengesat air mata yang terhambur di pipi. Dengan kata- kata setulus ini, aku bagaikan telah ternanti- nanti kepulangannya. Betapa berat kesedihan yang kurasa, tentulah lebih berat janji yang dibawanya. Muhammad Saifuddin, tiba- tiba aku terasa sepi dan rindu. Terlalu rindu…

No comments: