Setiap petang ayah akan membawa kami ke pondok di hujung sawah. Selagi ibu tidak datang untuk menjemput kami pulang, selagi itulah ayah akan terus bercerita dongengan yang menjadi tradisi turun- temurun keluarga. Itu kata ayah, dan kami tidak pula banyak bertanya. Dalam berpuluh dongengan yang pernah ayah riwayatkan, kami amat tertarik dengan kisah anak itik putih yang dipelihara oleh seekor ibu ayam. Lebih- lebih lagi adik kembarku, Afeya.
Tetapi kini ayah sudah tiada. Aku dan Afeya juga semakin dewasa dan tiada lagi masa untuk mengunjungi pondok penuh kenangan itu. Sejak ayah pergi kami sekeluarga telah berhijrah ke bandar. Aku sedar, dari hari ke hari pemikiran Afeya nampak semakin keliru. Aku sebagai abang kembarnya amat sensitif dengan perubahan itu.
”Abang...!”
Aku memandang Afeya yang sedang berdiri di muka pintu. Demi melihat wajahnya yang tampak kacau, aku segera menutup buku rujukan Fizik setebal dua inci itu.
”Kenapa?” tanyaku. Aku nampak di tangannya ada bingkai gambar.
Afeya berjalan menghampiriku lalu duduk di sisi meja. ”Abang, bagaimana si ibu ayam memperolehi anak itik putih?”
Aku kaget sebentar dengan pertanyaan si adik. Dengan soalan berat itu dia sebenarnya cuba membawa aku menjengah kembali memori bersama ayah. Aku sebagai anak lelaki sulung tentu saja merindui seorang ayah dan juga mungkin boleh aku katakan sahabat terbaik. Mungkin Afeya juga.
”Afeya rindukan arwah ayah?” tanyaku lagi.
Dia mengangguk perlahan lalu merenung aku dengan penuh harapan. ”Ayah banyak bercerita kisah dongeng tetapi kenapa ayah paling kerap bercerita kisah anak itik putih sehingga Feya sendiri gemar mendengar cerita itu?”
Aku menelan liur pahit. Apakah jawapan paling tepat dan jujur perlu aku katakan? Atau perlukah aku merekakan sebuah lagi hikayat, seperti arwah ayah juga? Aduhai...
”Mungkin banyak teladan yang dapat diambil daripada kisah itu lalu ayah mahu kita sentiasa mengingatinya,” jawabku.
”Tapi, dari mana sis ibu ayam memperolehi anak itik putih itu?”
Aku melepaskan nafas panjang mendengar pertanyaan Afeya yang bertalu- talu. Kemudian aku tersengih sedikit sekadar menutupi garis kebimbangan sedangkan riak wajah adikku nan satu itu semakin kalut.
”Mungkin anak itik itu tersesat dan tak dapat mencari jalan pulang.”
”Abang, Feya bukan kanak- kanak lagi...” Dia tunduk.
Aku menjadi kelu. Tiba- tiba aku tersedar bahawa antara kami masing- masing sudah menjangkau umur 17, dan adalah tidak wajar Afeya menerima jawapan yang tidak matang seperti itu. Walaupun aku abangnya namun fizikal dan rohani kami berkembang bersama- sama. Jadi tidak patut aku merendahkan tahap pemikiran Afeya. Ah...
”Bukankah ini anak itik putih yang diceritakan oleh ayah?” tanya Afeya dengan serius, sambil menunjuk gambarnya sendiri dalam bingkai gambar itu.
Aku tersentak. Dia ternyata memfokuskan dirinya sendiri. Aku tidak faham. ”Apa maksud Feya?”
”Abang tidak nampakkah perbezaannya? Wajah Feya tiada langsung sama dengan abang atau ibu, apatah lagi arwah ayah. Kawan- kawan Feya selalu membandingkan mata Feya dan mata ibu. Mereka kata mata Feya sepet, tak secantik mata ibu!”
Aku tersengih nakal mendengar keluhan itu. ”Jadi hanya kerana ini Feya bersusah hati?”
Afeya memandang tepat ke dalam anak mataku. Sekali lagi aku tersentak. Dia kelihatan sungguh serius. Aku terpaku melihat tingkahnya yang berubah- ubah. Tetapi aku sebenarnya sedar Afeya menjadi begitu hasil daripada keadaan sekeliling yang mendesak dan pengalaman masa lampau yang menjadi igauan. Aku terus menjadi kelu. Sebetulnya aku tidak boleh tersengih begitu kerana mungkin telah memainkan perasaannya. Dia adikku yang perlu aku hormati.
”Abang, Feya bukan anak ibu. Anak itik putih yang ayah maksudkan itu adalah Feya sendiri, bukan?”
Aku memandang Afeya. Kali ini dengan pandangan yang penuh bererti. Aku berharap agar dia faham situasiku ketika ini dan tidak terus memaksa aku berkata benar atau tidak. Lama aku berbuat begitu sehinggalah aku teringat pesan arwah ayah pada hari- hari terakhirnya bersama kami.
“Walaupun Afeya adikmu tetapi dia tetap bukan mahrammu yang halal.” Maka demi pesanan itu juga aku seolah- olah baru terjaga daripada mimpi. Antara aku dan Afeya nyata ada batasnya. Aku terpana.
Tiba- tiba daun pintu ditolak perlahan. Kami berpandangan sesama sendiri. ”Ibu!”
“Afeya sayang, nampaknya Feya sudah dapat membaca kenyataan hidup. Ibu bimbang Feya tersasar dalam mentafsir realiti dan kasih saying ibu dan arwah ayah yang tidak pernah membezakan siapa Afeya dan dari mana Feya datang…”
“Anak itik putih itu bukan tersesat, tapi si ibu ayam itu yang mengambilnya daripada pangkuan ibu itik lantaran ajal. Si ibu ayam tidak pernah mengira perbezaan keturunan kerana apa yang dititikberatkan adalah kasih sayang, persahabatan dan keharmonian,” kata ibu lagi.
Aku lihat Afeya kaku tanpa kata sedang matanya yang kecil sedikit itu menghantar pandangan yang cukup bermakna kepada ibu yang sentiasa tenang. Bagiku ketenangan itu sudah cukup untuk membuatkan aku bangga dilahirkan sebagai anak lelakinya; dan mungkin Afeya juga. Memang sepatutnya dia berbangga dengan ibu kerana tali persahabatan antara ibu dan Puan Wonglah yang membawa dirinya ke sini. Sekaligus menghadiahkan aku seorang ‘adik kembar’ yang sangat comel pula anak itik putih! Aku tersengih sendiri.
Afeya bingkas menghampiri ibu dan didakapnya penuh erat Sebagai seorang abang, aku dapat merasakan cinta yang mengatasi perbezaan darah yang mengalir dan warna kulit. Tidak dinafikan lagi Afeya sangat ebrbangga memiliki seorang ibu yang sarat dengan kasih dan harapan. Alangkah!
Afeya mendongak manja melihat mata ibu. ”Apa nama sebenar Afeya?”
Suasana sepi seketika sedangkan aku sendiri tergamam dengan soalan spontan Afeya sehinggalah ibu membuka semula bicvara, ” Wong Siew Peng!”
No comments:
Post a Comment